Monday, January 19, 2015

Soalan 5

5.Kesan Dasar Pecah dan Perintah ke atas penduduk Malaysia sehingga berlakunya peristiwa 13 mei 1969

PENDAHULUAN
Kerajaan kolonial Inggeris mentadbir penduduk Bumiputera dan imigran secara berasingan. Dasar ini dikenali sebagai sistem `Pecah dan Perintah’(Divide and Rule) satu kaedah imperialisme penjajah Eropah yang digunakan di tanah jajahan untuk `melemahkan’ Bumiputera dan memberikan keutamaan kepada kaum imigran dan memisahkan mereka daripada penduduk Bumiputera. Golongan imigran dibiarkan mengekalkan identiti dan budaya masing – masing dan tidak digalakkan berhubung secara langsung dengan kaum Bumiputera.Mereka diberi kemudahan untuk terlibat dalam perkembangan perusahaan bijih, getah dan aktiviti perniagaan. Penduduk Bumiputera disisih dari corak kegiatan ekonomi komersial. Walaupun tidak ditindas secara kekerasan, mereka tetap mahu kekal dengan cara hidup tradisi menjadi petani.Oleh itu,pihak Inggeris berharap dapat membentuk keadaan yang stabil dan terus menjajah negara
ini. Dasar `Pecah dan Perintah’ membayangkan usaha yang terancang bagi mewujudkansuatu keadaan yang menjadikan orang Melayu sebagai penduduk Bumiputera akan tertekan daripada segi kehidupan ekonomi, politik dan sosial.
KEWUJUDAN PERSATUAN PELBAGAI KAUM
Di samping pelbagai aliran pendidikan, agama dan akhbar bagi memenuhi kehendak dan selera setiap kaum, terdapat juga pelbagai persatuan kebajikan, sukan dan pertubuhan- pertubuhan sosial lain yang ditubuhkan oleh setiap kaum bagi mengendalikan aktivit ikaum masing-masing. Walaupun antara persatuan dan pertubuhan sosial tersebut terdapat pertembungan dan perhubungan dengan persatuan kaum – kaum yang lain, tetapi pertemuan ini berlaku dalam bentuk yang hanya menonjolkan identiti, persaingan dan semangat kekitaan kaum masing – masing. Sebilangan besar persatuan ini diadakan khusus untuk kepentingan satu – satu kaum sahaja. Misalnya terdapat Malay Club,Chinese dan Indian atau Ceylones Association di bandar-bandar. Pada tahun 1937,misalnya orang India telah menubuhkan Persatuan India. Persatuan ini telah membuat desakan terhadap kerajaan British supaya mengambil tindakan dalam membaiki keadaan bekerja yang lebih baik bagi pekerja-pekerja India.Selain persatuan untuk kebajikan sesuatu kaum, terdapat juga persatuan- persatuan sukan. Pertandingan sukan persahabatan kerap dilakukan antara kaum, tetapi hubungan bersukan seperti ini banyak berasaskan persaingan antara kaum. Keadaan ini boleh menggalakkan dan menebalkan lagi semangat perkauman, kerana tiap-tiap kaum cuba untuk menaikkan dan memenangkan persatuan sukan kaum mereka sahaja.

KEWUJUDAN AKHBAR PELBAGAI BAHASA
Akhbar merupakan salah satu media yang berkesan untuk memupuk perpaduan masyarakat. Selain itu, akhbar juga merupakan alat yang dapat meniupkan dan menyemarakkan semangat perkauman di kalangan masyarakat perlbagai kaum. Keadaan ini memang berlaku dalam masyarakat kita semasa penjajahan British. Terdapat pelbagai akhbar yang diterbitkan bagi memenuhi selera setiap kaum. Ada akhbar yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, Tamil, Cina, Inggeris dan Punjabi.Setiap akhbar hanya memberikan perhatian secara menyeluruh kepada kegiatan golongan kaum tertentu sahaja. Misalnya akhbar berbahasa Cina lebih mengutamakan perkembangan dan kejadian yang berlaku di China. Akhbar Tamil pula membesar dan menonjolkan berita di India. Oleh itu kaum Cina dan India yang tinggal di Malaya merasakan adanya jalinan hubungan yang rapat di antara mereka dan saudara mara mereka di Tanah Besar China dan India. Dalam isu pendidikan, kita dapati hanya pendidikan Inggeris merupakan aliran yang membolehkan ketiga-tiga kaum bercampur dan menimba ilmu di bawah bumbung yang sama. Kita dapati juga hanya akhbar berbahasa Inggeris yang dibaca oleh semua kaum diMalaya ketika itu. Walau bagaimanapun, akhbar-akhbar Inggeris ini pula tidak dapat memainkan peranan yang sebenarnya dalam menyatu padukan masyarakat, kerana berita- berita yang dimuatkan tidak memberatkan ke arah perpaduan kaum. Akhbar-akhbar Inggeris banyak memberikan tumpuan ke arah perkembangan dan pemerintahan Inggeris  sahaja. Akhbar -akhbar pelbagai bahasa juga telah menjarakkan lagi jurang pemisahan antara kaum di Malaya. Setiap kaum menonjolkan berita, budaya dan perkembangan yang berlaku di sekitar kelompok kaum mereka sendiri dan di negara asal mereka. Ini  menguatkan lagi semangat kecintaan terhadap tanah air dan kaum mereka sahaja.Perkembangan dan semangat yang sempit ini tidak dapat membantu mereka memahami bahasa, budaya, sensitiviti kaum-kaum lain.

PENUTUP
Masalah 13 Mei 1969 merupakan satu aspek yang  memberikan kesan negatif terhadap negara kita tetapi jika dilihat pula dari satu sudut yang lain ia sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia. Melalui peristiwa berdarah itulah kita kini dapat hidup dan membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai, harmoni hinggakan menjadi sebutan dunia kerana sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dapat hidup bersama dalam keadaan dan suasana yang aman damai.Jika dilihat faktor berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 kebanyakan disebabkan oleh peranan penjajah yang telah membentuk satu masyarakat yang mempunyai kelas dan tahap tertentu demi untuk memelihara kepentingan mereka di Tanah Melayu. Justeru setelah berlaku peristiwa 13 Mei kerajaan telah mengambil langkah untuk membentuk semula masyarakat Malaysia menerusi dasar-dasar dan tindakan segera yang telah diambil untuk memastikan bahawa kemakmuran negara akan terus terpelihara dan terjamin.Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada negara kita kerana selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku, semua pihak mulai sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang dapat kita saksikan kini.Apa yang perlu dilakukan kini oleh rakyat Malaysia ialah terus mendukung aspirasi nasional tanpa mengira apa pun fahaman politik dan saling membantu antara satu sama lain ke arah Malaysia yang lebih adil. Dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan pula  haruslah didokong dan diberi sokongan yang sewajarnya agar ia berjaya mencapai matlamatnya.Selepas 13 Mei 1969 juga jelas menampakkan satu peningkatan yang amat membanggakan bagi negara kita dari segi pemupukan perpaduan kaum dan ia adalah hasil daripada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan melalui dasar-dasar seperti:

Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar KebudayaanKebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional serta wawasan.


No comments:

Post a Comment